KUALA LUMPUR 23 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib
lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai
2013.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu adalah
sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai
syarat untuk mendapatkan sijil SPM.
‘‘Selaras dengan pandangan yang telah dikemukakan oleh sebahagian
besar jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya ingin
mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan menjadikan mata
pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus.
‘‘Pada masa ini di peringkat sekolah menengah, ia adalah mata
pelajaran yang wajib diambil oleh setiap pelajar tetapi tidak wajib
lulus,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan berkenaan
di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Menurut Muhyiddin, 2013 dipilih bagi melaksanakan langkah itu
berikutan kementerian memerlukan masa untuk melatih guru dan menyediakan
pelajar bagi menghadapi sistem baru berkenaan supaya mereka tidak
terkejut.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden
UMNO berkata, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR),
maka mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras di sekolah
rendah mulai 2014.
‘‘Seperti yang telah dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di
peringkat sekolah rendah pada masa ini elemen sejarah hanya diajar
melalui mata pelajaran Kajian Tempatan,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan langkah menggantikan
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kaedah pentaksiran
berasaskan sekolah akan dimulakan pada 2014 iaitu dua tahun lebih awal
daripada tarikh asal ditetapkan.
‘‘Kita akan mulakan lebih awal kerana ada tuntutan daripada
perwakilan UMNO supaya ia disegerakan tetapi kita perlu ada tempoh masa
untuk menyiapkan usaha bagi melatih semula guru dan sebagainya,”
katanya.
Mengenai langkah meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti
pendidikan teknik dan vokasional, beliau berkata, peruntukan pembangunan
sebanyak RM340 juta untuk tujuan itu di dalam Rancangan Malaysia Ke-10
(RMK-10) adalah tidak mencukupi dan akan ditambah pada masa depan.
Selain itu juga, katanya, kerajaan akan menambah dua sekolah menengah
pendidikan vokasional khusus untuk pelajar kurang upaya pendengaran,
penglihatan dan yang menghadapi masalah pembelajaran.
Tambah beliau, kerajaan juga akan meneliti saranan Pergerakan Wanita
UMNO ketika perhimpunan itu supaya kerajaan mengkaji semula keseluruhan
sistem pendidikan negara.
‘‘Saya bersetuju bahawa sudah sampai masanya satu laporan baru
dikeluarkan tentang cara kita menambah baik sistem pendidikan negara
pada masa akan datang,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment