TATASUSILA PROFESION PERGURUAN
Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan
ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat
setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya
usaha menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang dan
yang percaya kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan Prinsip-Prinsip Rukun
Negara.
Melalui pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya
memahami kebudayaan mereka, memperolehi pengetahuan yang telah terkumpul sejak
zaman berzaman, dan menyediakan mereka untuk menghadapai cabaran pada masa
hadapan.
Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak
muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima
tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami menyempurnakan
profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tinggnya.
I. TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
1. Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami
daripada hal-hal lain.
2. Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira
faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau
agama.
3. Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar
kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
4. Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri
atau dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa
sebarang bayaran.
5. Menunjukkan satu cara pakaian, pertuturan dan tingkahlaku yang
dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar.
6. Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui
pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau
seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.
II. TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPA
1. Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak
mereka.
2. Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di
antara institusi pendidikan dengan rumahtangga.
3. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
3. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
4. Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak
mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti
dan bijaksana.
5. Mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh
kedudukan sosial dan eknonomi ibu bapa pelajar.
6. Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan
sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau
penjaga mereka.
III. TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN
NEGARA
1. Mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh
merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat, negara atau pun yang bertentangan
dengan Rukun Negara.
2. Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh
membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia,
bertanggungjawab dan berguna, menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan
dan agama.
3. Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi
segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil
bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
4. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan
ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.
5. Memberi sumbangan cergas untuk meningkatkan kehidupan moral,
kebudayaan dan kecendekiawan masyarakat.
6. Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh
masyarakat dan menjalani kehidupan sehari-hari dengan baik.
IV. TANGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT
DAN PROFESION KEGURUAN
1. Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau
ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau
ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan
kecekapan kami sebagai guru.
3. Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami
dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan sejajar dengan kemajuan
ikhtisas dan sosial.
4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya
mereka yang beru dalam profesion keguruan.
5. Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik
profesion keguruan.
6. Akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.
CATATAN:
Guru yang dimaksudkan dalam konteks tatasusila ini ialah orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah institusi peringkat rendah, menengh dan tinggi, termasuk guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran, organisasi dan penyeliaan pendidikan.
Guru yang dimaksudkan dalam konteks tatasusila ini ialah orang yang menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah institusi peringkat rendah, menengh dan tinggi, termasuk guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran, organisasi dan penyeliaan pendidikan.