1. Bilakan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan 6 National Key Result Area (NKRA)?
• Pada Isnin (27 Julai 2009),
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks
Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),
termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan
memerangi rasuah. Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada
pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat
berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman;
dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.
2. Siapakah Menteri-menteri yang bertanggungjawab menerajui 6 NKRA berkenaan?
• Bagi setiap NKRA, seorang menteri
akan dilantik sebagai 'lead minister' atau menteri pimpinan bagi
menerajui NKRA yang ditetapkan. Menteri-menteri yang dilantik ialah:
I. Bagi NKRA untuk meluaskan akses
pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri
Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran)
II. Bagi NKRA mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri)
III. Bagi NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).
IV. Bagi NKRA tingkatkan taraf
hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat)
V. Bagi NKRA memperkasa prasarana
luar bandar dan pedalaman ialah Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)
VI. Bagi NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).
3. Bagaimanakah NKRA dilaksanakan?
• Perdana Menteri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut
• KPI akan diletakkan kepada setiap
6 jurusan NKRA. Setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI nya dengan
sasaran khusus agar dapat diukur. Berpandukan dengan KPI ini, segala
prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan
digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di
pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan
• Setiap minggu PM akan berjumpa
dengan setiap 'lead minister' ini bagi menilai pencapaian KPI yang
ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu, PM akan dapat
menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA
seperti yang direncanakan.
• Bukan itu sahaja, anggota Jemaah
Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA juga tidak terkecuali
daripada mempunyai KPI kerana mereka tetap dipertanggungjawabkan untuk
mencapai KPI kementerian masing-masing, yang akan dinilai oleh Perdana
Menteri sendiri setiap enam bulan.
• Sebagai bukti tahap
kebersungguhan untuk menjayakan rencana ini, 3 bengkel khusus telah
diadakan di peringkat Jemaah Menteri. Bengkel-bengkel tersebut adalah
bagi merangka, memperincikan dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu
yang berbangkit. Sesungguhnya, kita komited melakukan proses
transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan
menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua
dilakukan bagi memastikan pada analisa akhir rakyatlah yang akan
memperoleh faedahnya.
4. Latar belakang merevolusikan pengurusan
Perkhidmatan Kerajaan : Pencapaian Diutamakan
• Pada hari pertama dilantik
menjadi Perdana Menteri, PM telah menyatakan dengan jelas bahawa
kepimpinan negara di bawah panji pentadbiran kini akan membawa
pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru dan bakal menjelmakan
pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan
kepentingan rakyat.
• Pada 28hb April, PM telah
mengutarakan Key Performance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama
ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota
pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu amalan penting dalam
pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan
oleh sesuatu organisasi seperti kementerian atau agensi kerajaan secara
objektif. KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan
didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah,
mekanisme ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di
negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.
• Ini kerana Kepimpinan tidak akan
bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Hatta, kemuncak
kepada penilaian rakyat berkait kepimpinan sektor awam mahupun politik
adalah pencapaian. Metodologi ini juga akan membolehkan perkhidmatan
awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh dari aspek
kuantitatif dan kualitatif.
• Pada hari ke seratus pentadbiran
PM baru-baru ini, PM telah mengumumkan 6 bidang keberhasilan utama
nasional atau National Key Results Area, singkatannya NKRA. Ia menjadi
bidang-bidang yang diberi keutamaan di peringkat kebangsaan.
5. Apakah tujuan pelaksanaan NKRA?
• Tujuan PM memperkenalkan NKRA dan
KPI adalah bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius,
wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam.
• Puncanya ialah, PM tidak mahu
rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar,
akan apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang
digembleng oleh Kerajaan.
• PM mahu segala rancangan
pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini di maklum dan diketahui
oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran
seperti yang ditetapkan.
• PM turut meletakkan KPI
kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti
pula KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur. Dengan
adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan
tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu
untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah
yang dijanjikan.
6. Apakah perincian 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)?
6. Apakah perincian 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)?
1) NKRA yang pertama :Mengurangkan Kadar Jenayah
• Sesebuah negara yang menuju
ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan
damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun
di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak
mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari masa ke semasa
kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ianya berlaku.
• Oleh yang demikian, kerajaan
memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan
pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian
Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan
jenayah dan di pecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:
i) Jenayah jalanan
Jenayah jalanan diberi penekanan kerana
didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli
keluarga juga anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah
jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun
berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori
ini bukanlah enteng-entengan kerana ia merupakan 17% daripada
keseluruhan indeks jenayah 2008. Manakala hot spots kepada jenayah jenis
ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala
Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini
mencatat sebanyak 72% daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada
tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan
jenayah jalanan ini sebanyak 20% pada penghujung tahun 2010.
ii) Keselamatan awam
Penumpuan akan diberikan dalam hal
penambahbaikan persepsi rakyat terhadap keselamatan awam di mana
pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas
kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini
termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama
PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan. Dalam usaha ini,
balai-balai yang berkaitan akan dinaiktarafkan serta
peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu,
langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan
menambah peralatan CCTV.
iii) Peningkatan Prestasi Agensi Penguatkuasaan
Untuk menaikkan prestasi agensi
penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan
Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji
cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh
misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah
jalanan.
2) NKRA yang kedua – Memerangi rasuah
• Kerajaan amat komited dalam usaha
memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah
haruslah dibendung sebelum ianya terus membarah. Badan antarabangsa
iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index
mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding
dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004.
• Oleh itu, untuk memastikan
persepsi kedudukan dan ranking Malaysia bertambah pulih pada masa
hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan
penguatkuasaan yang berkaitan.
• Sehubungan dengan itu, kerajaan
telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah
menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes
tertentu. Manakala dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah
pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih
efektif.
3) NKRA yang ketiga – Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan
• Seperti yang semua maklum, ilmu
pengetahuan menjadi kandil penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di
dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun
yang pernah terbina dan yang menentukan kelancangannya. Justeru,
kerajaan akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang
terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf
sosioekonomi.
• Oleh itu, dalam bidang
pendidikan, PM mahu memastikan anak-anak bangsa mendapat akses kepada
pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda
Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif,
bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional
yang penuh cabaran ini dari kemudahan yang diberikan.
• Kerajaan akan memberikan
keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada
peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan
prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan
kebangsaan dalam aliran perdana.
• Adalah amat merugikan kerana
terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai
kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian.
Maka, bagi menangani kemelut ini, PM telah menetapkan supaya semua
kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca,
menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum
penghujung 2012. Kerajaan menyedari hanya 60% sahaja anak-anak
Malaysia yang dapat akses pendidikan pra sekolah, jadi KPI menjelang
2012 berharap pencapaian ini dapat dinaikkan sekurang-kurangnya kepada
80%.
• Bersesuaian dengan konsep
pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan
menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal
insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan dengan ini ingin menawarkan new
deal atau satu Bai’ah baru kepada semua pengetua dan guru besar
sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah
masing-masing.
• Selain itu , sebagai projek
perintis, sebanyak 100 buah sekolah, terdiri daripada jenis harian
biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan
sekolah berasrama penuh, akan dikenal pasti untuk diangkat
menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kerajaan akan
menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta
menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu
lagi pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam
tempoh 3 tahun sebelum penamat 2012.
4) NKRA yang keempat – Meningkat Taraf Hidup Rakyat Yang Berpendapatan Rendah
• PM bertekad untuk membanteras
kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK9.
Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah
(KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, lebih 11,000
telah disahkan statusnya dan telah pun mendapat bantuan Jabatan
Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di
Sabah dan Sarawak sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung
tahun 2010.
• Sehubungan ini juga, sebagai
sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan sentiasa mendengar rintihan
serta merasai denyut nadi rakyat dan tidak sekali-kali memandang mudah
soal kebajikan rakyat. Kerajaan mahu setiap bantuan yang dijanjikan
bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat.
Oleh itu, bermula Januari 2010 semua bantuan kebajikan untuk
rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.
• Sememangnya, sumbangan kaum
wanita kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan. Malah, kaum hawa
membentuk separuh dari penduduk Malaysia. Bersesuaian itu kerajaan
berhasrat untuk melatih dan melahirkan lebih ramai jumlah usahawan
wanita. Sehingga Jun 2009 sahaja, seramai 717 wanita yang berpotensi
untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar
telah dikenal pasti. Justeru, kerajaan dengan ini menetapkan matlamat
untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita ini kepada
seramai 4,000 orang menjelang tahun 2012 melalui program Amanah
Ikhtiar Malaysia.
5) NKRA yang kelima : Memperkasa Prasarana Luar Bandar dan Pedalaman
• Bersesuaian dengan semangat dan
konteks ajaran al Quran Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa, janganlah
hendaknya harta dan kekayaan itu beredar di kalangan orang-orang berada
sahaja bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh negara. Maka, atas
prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya tercicir dari merasai
mahsul kemakmuran.
• Lantaran itu, pentadbiran
kerajaan akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan pedalaman.
Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 km jalan luar
bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah
lagi kepada 1,500km atau dua kali ganda daripada perancangan awal. Ini
akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana
sebelum penamat tahun 2012.
• Jalan-jalan yang akan dibina
terdiri daripada tiga (3) kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan
kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan
serta faedah kepada hampir 2 juta penduduk luar bandar di Sabah dan
Sarawak.
• Manakala di Semenanjung Malaysia
pula, bagi tempoh yang sama, liputan rangkaian jalan luar bandar akan
dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh pun,
5km dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan
berjumlah RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi
penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.
• Pada masa ini, liputan bekalan
air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu
masing-masing di sekitar 62%. Justeru, Kerajaan telah menetapkan pada
akhir RMK9 liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri berkenaan akan
dipertingkatkan kepada 70%. Kerajaan begitu serius untuk menyediakan
kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh terdekat
ini. Jadinya, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan
bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada penghujung tahun
2012. Untuk tujuan ini sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan akan
membawa kemudahan kepada 60,000 buah rumah.
• Selanjutnya, memandangkan pada
masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah
iaitu masing-masing sekitar 80% berbanding 99% di Semenanjung, Kerajaan
bermatlamat untuk meningkatkan liputan bekalan elektrik di kedua-dua
negeri tersebut kepada 95% pada akhir tahun 2012. Sejumlah RM3.9 bilion
akan diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada
80,000 buah rumah. Kerajaan juga menyasarkan untuk memberi bekalan
elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir
tahun 2012.
• Kerajaan turut berhasrat untuk
menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan miskin
dan sehubungan itu, Kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah
50,000 unit rumah bagi keperluan golongan tersebut sehingga penghujung
2012 di seluruh Malaysia.
6) NKRA yang keenam – Menambah Baik Pengangkutan Awam dalam jangka masa sederhana
• Dalam era Malaysia melangkah
sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat untuk menyediakan
rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi
keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat
jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.
• Mengikut pada statistik
Kementerian Pengangkutan, pada masa ini hanya 16% daripada penduduk
Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan awam. Jadi, Kerajaan
menyasarkan bahawa peratus ini akan ditingkatkan lagi kepada 25% pada
penghujung tahun 2012. Namun, harus disedari, untuk meningkatkan peratus
ini, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan berjangka
panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaannya, PM mengumumkan
menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set “4-car-train” akan beroperasi
untuk laluan LRT Kelana Jaya.
Kesimpulan
Kesimpulan
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)
ini membuktikan Kerajaan di bawah pimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak
begitu telus dan komited untuk melaksanakan transformasi perkhidmatan
kerajaan yang bermutu tinggi kepada rakyat. Ini kerana dengan adanya
NKRA ini rakyat boleh menilai keberkesanan kepimpinan YB Dato Seri Najib
Tun Razak secara adil dan sistematik tanpa berdasarkan emosi ataupun
persepsi semata-mata.
Selain daripada itu juga Kerajaan
pimpinan YB PM telah memperkenalkan sistem pengukuran prestasi yang
boleh membuktikan secara fakta keberkesanan setiap 6 bidang NKRA. NKRA
ini juga merupakan manifestasi kerajaan dalam meletakkan amanah dan
mandat rakyat di kedudukan tertinggi dan bermaruah di samping mencapai
konsep 1Malaysia di mana, “ rakyat didahulukan dan pencapaian di
utamakan.”
No comments:
Post a Comment